Soalnya hati, sukar dimengerti, walaupun banyak kali ku
cuba memahami. Adakalanya hanya perkara kecil sudah bisa membuatkan hati
terasa. Kalaupun ada sesetengah halnya ku telah tahu kebenarannya, tapi masih
juga hati terasa setiap kali.
Soalnya hati, sukar dimengerti, apatah lagi hati yang
lain untuk cuba memahaminya. Kerana.. hatiku hati seorang wanita, cairnya
seperti aiskrim yang sedap dipandang tetapi cepat cair. Bila hati keras,
kerasnya melebihi keras seketul belian. Namun, adakalanya hatiku ibarat kerak
nasi, keras pada mulanya, akhirnya menjadi lembut juga dek kerana dibasahkan
dengan air.
Rayuan, pujukan dirinya sering kali membuatkan ku
akhirnya mengalah walaupun itu bukan salahku. Bukan ku lemah mahu mengalah,
Cuma mahukan yang terbaik untuk dirinya. Kepuasan pada nya melebihi kepuasan
ku. Kebahagiannya punca kebahagianku. Bagaimana mungkin ku mengeraskan hati
untuk selamanya, merajuk dengannya. Biarlah hati ini membawa diri, tanpa
haluan. Titisan air mata yang hanya menghujani lantai hatiku yang kekeringan..
hanya doa mampu membuat hatiku lebih tenang saat hubungan keberantakan
seketika.